Kenaikan emas terhenti ketika pelabur menantikan perkembangan seterusnya dalam konflik Rusia dan Ukraine, memperlihatkan logam berharga itu didagangkan berlegar di sekitar harga $1,900 per auns pada sesi Asia.
Ketika penulisan, dagangan emas sedikit berubah pada $1,899 per auns, tidak jauh dari paras ketinggian lapan bulan $1,913 yang disentuhnya pada Selasa. Sementara niaga hadapan emas pula berlegar pada $1,901 per auns.
Permintaan terhadap logam kuning itu terbantut berikutan kebangkitan semula hasil bon AS 10 tahun susulan pengumuman sekatan Amerika Syarikat dan Eropah terhadap Rusia yang mengerahkan tenteranya ke timur Ukraine.
Terbaharu, Amerika, Kesatuan Eropah (EU) dan UK mengumumkan sekatan yang menyasarkan kepada bank-bank dan pegawai besar, sementara Jerman pula menghentikan projek saluran paip gas utamanya dari Rusia.
Selain daripada ancaman biasa yang didakwa AS bahawa Rusia akan menyerang Ukraine, tiada perkembangan terbaharu yang menggugat pasaran buat masa ini menyebabkan pergerakan logam berharga itu mendatar.