Kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi global telah menyebabkan $2 trilion aliran keluar dari pasaran saham Amerika Syarikat (AS) dilaporkan pada awal minggu semalam.
Pasaran niaga hadapan saham AS telah melakukan terjunan pada Selasa selepas purata utama berada di bawah tekanan jualan yang tinggi pada awal minggu di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan AS.
Bukan di AS sahaja malah dagangan bursa di seluruh dunia juga mengalami kemerosotan yang kritikal dengan penjualan saham syarikat-syarikat gergasi termasuk di Jepun.
Penurunan mendadak dalam pasaran saham Jepun, merupakan yang terburuk sejak Black Monday di Wall Street pada 1987 dan penurunan pesat “carry trade” yen juga menyumbang kepada turun naik.
Pada dagangan pembukaan awal minggu Isnin semalam, Dow dan S&P 500 masing-masing jatuh 2.6% dan 3%, merekodkan sesi terburuk mereka sejak September 2022.
Nasdaq Composite juga menjunam 3.43%. Saham teknologi Megacap yang mengekalkan prestasi cemerlang tahun ini merosot paling banyak pada Isnin, termasuk Nvidia (-6.4%), Microsoft (-3.3%) dan Tesla (-4.2%).
Apple juga jatuh 4.8% selepas Warren Buffett Berkshire Hathaway mengurangkan separuh pegangannya pada syarikat pembuat iPhone itu.
Sementara itu, Palantir Technologies melonjak 12% dalam dagangan lanjutan berdasarkan keputusan suku tahunan yang kukuh dan peningkatan unjuran.