Emas didagangkan dalam wilayah negatif menghampiri $2,400 pada Isnin apabila data inflasi borong yang lebih panas daripada jangkaan di Amerika Syarikat pada Jun memberi kesan ke atas logam terkenal itu.
Pada jam 10.25 pagi, harga emas berada pada paras $2,409.53 iaitu turun sebanyak 0.09% sejak ia dibuka pada awal dagangan sesi Asia.
Para pelabur kini menantikan laporan Keluaran Dalam Negara (KDNK) China untuk suku kedua bersama-sama dengan Indeks Pembuatan Empire State New York AS pada Julai dan ucapan pegawai Fed Mary Daly yang akan dikeluarkan lewat hari Isnin.
Data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Buruh pada hari Jumaat menunjukkan bahawa Indeks Harga Pengeluar (PPI) AS mencatatkan 2.6% untuk Jun berbanding 2.4% pada sebelumnya.
Sementara itu, Harga Pengeluar Makanan dan Tenaga meningkat lebih daripada jangkaan pada kedua-dua asas tahunan dan bulanan.
Walau bagaimanapun, kelemahan emas terhad di tengah-tengah jangkaan Fed yang akan mulakan pelonggaran dasarnya pada September. Kadar faedah yang lebih rendah secara umumnya meningkatkan daya tarikan emas.
Pasaran kini menetapkan ramalan sebanyak 80% untuk kemungkinan berlakunya pemotongan kadar faedah 25 mata asas pada bulan September nanti.
Selain itu, ketidaktentuan politik global dan ketegangan perang di Timur Tengah mungkin akan terus memberi kelebihan ke atas harga emas untuk melonjak tinggi.
Tidak lupa juga, berita berkenaan bekas Presiden Donald Trump yang ditembak pada bahagian telinganya semasa berkempen pada Sabtu telah mencuri perhatian media seluruh dunia.