Data pekerjaan JOLTS yang diterbitkan pada sesi New York semalam mencatatkan angka terendah sejak 2021 bagi jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka di Amerika Syarikat (AS).
Situasi ini menambahkan tekanan kepada ekonomi terbesar dunia itu selain kembali mencetuskan penyusutan semula dagangan US dolar.
Kelebihan dimanfaatkan oleh mata wang ringgit yang dibuka tinggi berbanding US dolar pada Khamis untuk pamerkan prestasi terbaiknya dalam tempoh dagangan 20 bulan.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Sdn Bhd Afzaninam Rashid berpandangan bahawa permintaan terhadap ringgit akan kekal kukuh dalam suasana ketidaktentuan pasaran global.
Situasi semasa dilihat memihak kepada ringgit ketika bank pusat AS Federal Reserve (Fed) dijangkakan untuk menurunkan kadar faedah pada mesyuarat September.
Sementara, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan terus mengekalkan kadar polisi semalaman (OPR) di paras 3.00%.
Perbezaan pada pendekatan polisi itu bakal mengekalkan sokongan terhadap prestasi semasa ringgit, sekurang-kurangnya sehingga penghujung 2024.
Ringgit didagangkan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pada pagi ini.
Mata wang tempatan itu tinggi berbanding Euro kepada 4.8065/4.8248 daripada 4.8082/4.8143, lebih baik berbanding pound Britain pada 5.7019/5.7236 daripada 5.7052/5.7125 sebelumnya.
Namun, ia jatuh berbanding Yen yang sedang meningkat dalam suasana pasaran global yang berisiko, kepada 3.0262/3.0379 daripada 2.9981/3.0021 semalam.
Nota tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapore kepada 3.3280/3.3409 daripada 3.3299/3.3344, menokok naik berbanding rupiah Indonesia daripada 280.2/281.4 kepada 281.0/281.5.
Juga meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.67/7.70 daripada 7.69/7.70 namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.7584/12.8153 daripada 12.7096/12.7294 semalam.