Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihak kerajaan belum ada kertas dasar yang membenarkan pelaksanaan pemotongan subsidi untuk RON95.
Walaupun terdapat kajian mengenai peralihan daripada subsidi menyeluruh ke arah pendekatan yang disasarkan untuk RON95, kerajaan bercadang untuk menilai hasil rasionalisasi subsidi elektrik, ayam dan diesel buat masa ini.
Katanya lagi semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), beliau akan lihat dahulu kesan dan reaksi rakyat sebelum membincangkan sama ada perlu atau tidak dalam melaksanakan subsidi bersasar untuk RON95.
Namun begitu, Anwar mengulangi pendiriannya bahawa subsidi kerajaan tidak boleh sampai kepada golongan mahakaya dan warga asing. Pihak kerajaan tidak kompromi dengan pendirian tersebut.
Walau bagaimanapun, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk merasionalisasikan subsidi RON95 pada masa depan. Tumpuan sekarang kerajaan adalah untuk menangani rasionalisasi subsidi diesel.
Berikutan rasionalisasi subsidi diesel yang bermula Jun, langkah kerajaan yang berpotensi untuk mengurangkan subsidi RON95 yang masih tinggi sedang diawasi dengan teliti oleh pasaran dan pelabur.
Minggu lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan masih meneliti keperluan untuk memperluaskan subsidi bersasar untuk difokuskan pada petrol RON95.