Perkembangan terbaru berkenaan isu di sempadan Laut China Selatan dilihat seakan menghangatkan lagi ketegangan di antara Malaysia dan China.
Baru-baru ini China telah memberi amaran kepada Malaysia dengan dakwaan operasi penerokaan minyak telah menceroboh sempadan yang dibenarkan.
China menghantar nota bantahan menuntut Malaysia untuk menghentikan operasi penerokaan di kawasan yang dituntut China atas faktor kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan.
Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjawab isu tersebut dengan menegaskan bahawa operasi yang dijalankan itu adalah di dalam kawasan perairan Malaysia tanpa mencetuskan sebarang provokasi.
PMX dikatakan bersedia untuk berbincang dengan pihak China untuk menjelaskan operasi penerokaan minyak tersebut adalah penting untuk kelangsungan ekonomi negara.
Respon yang baik akan diberikan dengan menerangkan kedudukan Malaysia dan bukan melakukan tindakan provokasi.
Menurut Anwar, Malaysia tetap akan meneruskan operasi penerokaan di perairan untuk menjamin kelebihan bagi negara, namun Beijing membantah kerana merasakan operasi yang dilakukan telah memasuki kawasan perairan mereka.
Ini tidak menjadi kejutan berikutan China sebelum ini juga pernah bertegas bahawa hampir keseluruhan perairan Laut China Selatan yang berkongsi dengan Malaysia, Brunai, Vietnam, Filipina dan Taiwan adalah di bawah kedaulatan mereka.
PM Anwar berkata Malaysia mempunyai prinsip tegas untuk tidak menceroboh kawasan negara lain. Jika China tidak berpuas hati, Malaysia sedia untuk bersemuka.