Harga minyak jatuh untuk sesi keempat berturut-turut pada Khamis dan ditutup pada paras terendah bulanan apabila prospek kadar faedah AS yang lebih tinggi untuk jangka masa panjang telah menimbulkan kebimbangan mengenai pertumbuhan permintaan dalam pasaran global.
Minyak mentah Brent ditutup rendah sebanyak 54 sen (0.7%) pada $81.36 per tong yang merupakan rekod terendah sejak Januari. Manakala, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turun 70 sen (0.9%) kepada $76.87 per tong ke paras terendah dalam tiga bulan.
Data S&P Global menunjukkan pergerakan positif aktiviti perniagaan AS bulan ini dan pengeluar juga melaporkan lonjakan harga dengan pelbagai faktor. Ini akan membuka laluan mudah untuk berlakunya inflasi barangan pada bulan-bulan mendatang.
Rabu lepas, minit mesyuarat dasar terbaharu Federal Reserve (Fed) AS menunjukkan pembuat dasar masih ragu-ragu jika kadar faedah semasa cukup tinggi untuk menjinakkan inflasi yang degil.
Kadar faedah yang tinggi meningkatkan lagi kos pinjaman dan mampu melambatkan aktiviti ekonomi dan melembapkan permintaan untuk minyak.
Dalam pasaran, stok minyak mentah AS meningkat sebanyak 1.8 juta tong pada minggu lepas berbanding anggaran 2.5 juta tong.
Walau bagaimanapun, EIA melaporkan permintaan petrol AS berada pada tahap tertinggi sejak November dan memberikan sedikit sokongan untuk pasaran tenaga menjelang hujung minggu cuti Memorial Day.
Penggunaan petrol AS membentuk sekitar 9% daripada permintaan minyak global.
Buat masa ini, para pelabur menantikan mesyuarat 1 Jun oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) yang akan membincangkan keputusan dasar pengeluarannya.
Rusia dalam laporannya, pengeluaran mereka melebihi kuota yang ditetapkan OPEC+ atas sebab teknikal dan mereka akan membentangkan rancangannya kepada Sekretariat OPEC untuk mengimbangi kesilapan itu.