Dagangan pembukaan awal minggu semalam perlahan seperti dijangkakan berikutan pasaran ditutup sempena cuti umum di UK dan juga Amerika Syarikat (AS).
Namun pergerakan perlahan harga berkemungkinan berterusan dengan pelabur yang akan berhati-hati menantikan terbitan laporan data penting seperti indeks harga PCE di penghujung minggu.
US dolar walau bagaimanapun dilihat meneruskan corak penyusutan nilainya setelah mata wang itu kembali melemah pada dagangan penutup minggu lepas.
Namun penganalisis masih meletakkan keyakinan untuk US dolar kembali mengukuh semula dengan menantikan fokus yang terarah semula terhadap dasar monetari bank pusat, Federal Reserve (Fed).
Pada sesi New York malam ini, data tinjauan keyakinan pengguna Conference Board akan diberikan perhatian yang menjadi pemacu bagi pergerakan semasa US dolar.
Selain itu, tumpuan turut akan diberikan terhadap pegawai-pegawai Fed yang akan menyampaikan ucapan termasuk Fed Cleveland Loretta Mester, Fed Minneapolis Neel Kashkari dan gabenor Lisa Cook.
Sebarang petunjuk yang disampaikan adalah penting untuk pasaran menilai kecenderungan bank pusat untuk dasar monetari mereka yang masih berbelah bagi.
Berbeza berbanding bank pusat lain seperti di Eropah, petunjuk jelas disampaikan oleh ahli ECB François Villeroy de Galhau untuk bank pusat melaksanakan pemotongan kadar faedah bermula Jun.
Begitu juga di UK di mana gabenor BOE Andrew Bailey sebelum ini juga telah mengisyaratkan perkara yang serupa dengan berpandangan bahawa langkah penurunan kadar untuk dilakukan tidak perlu untuk menunggu Fed.
Namun, sementara terus menantikan petunjuk-petunjuk yang baru, mata wang seperti Euro dan Pound masih berjaya catatkan peningkatan yang mengambil kesempatan ke atas situasi penyusutan US dolar.
Dagangan emas juga dilihat meningkat perlahan semalam, namun berisiko untuk alami kejatuhan semula sekiranya US dolar kembali menemui rentak pengukuhannya selepas ini.