Perdagangan Malaysia dengan China dilaporkan mencecah RM355 bilion dari Januari hingga September 2024.
Menurut Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Hassan, angka tersebut merupakan satu bacaan yang memberangsangkan dan menunjukkan peningkatan ketara berbanding RM325.83 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pertumbuhan ini seiring dengan dorongan lawatan diplomatik dan lawatan kerja yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China bulan lalu dan lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong ke China pada bulan September.
Lawatan tersebut telah membantu dalam mengukuhkan hubungan dan memupuk perbincangan mengenai kerjasama dalam bidang perdagangan, pertanian, dan pelancongan.
Siapa sangka, lawatan ini turut memberi impak kepada ekonomi, dengan projek-projek bernilai hampir RM6 bilion yang dijangka mencipta lebih 5,000 peluang pekerjaan.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan tahun lepas mencecah RM450.84 bilion.
Perkongsian ekonomi yang semakin kukuh ini menunjukkan kepentingan hubungan Malaysia-China dalam membentuk landskap perdagangan serantau.