Prestasi dagangan US dolar di pertengahan minggu mula menunjukkan kemerosotan selepas pergerakan bercampur-campur dipaparkan sejak pembukaan awal minggu.
Tiada kejutan pada bacaan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada sesi New York semalam dengan tumpuan kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan indeks harga PCE yang menepati ramalan.
Bacaan kedua bagi pertumbuhan suku ketiga AS kekal tidak berubah pada 2.8% seperti laporan awal yang telah diterbitkan pada Oktober lalu.
Komponen inflasi yang menjadi tumpuan Federal Reserve (Fed) juga tepati ramalan untuk kekal pada 0.2% pada bacaan indeks harga PCE untuk Oktober dan bacaan teras juga tidak berubah pada 0.3%.
Indikator US dolar memberi petunjuk suram kepada mata wang utama itu dengan indeks dolar (DXY) telah susut ke sekitar 106.00 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS telah susut mencecah paras 4.23%.
Penyusutan US dolar juga turut didorong oleh sentimen pasaran yang memulih dengan laporan rundingan gencatan senjata Israel-Hizbullah.
Dengan situasi suram US dolar ketika ini, mata wang utama dilihat sedang mengambil kesempatan untuk memulihkan nilai masing-masing.
Situasi tersebut berkemungkinan akan berterusan pada hari ini (Khamis) ketika pasaran AS bercuti sempena Thanksgiving Day.
Euro pamer kenaikan terbaiknya dalam tempoh dagangan 4 bulan selain turut disokong kenyataan bernada hawkish oleh penggubal dasar bank pusat Eropah (ECB).
Ahli lembaga ECB, Isabel Schnabel mengatakan pemotongan kadar faedah harus beransur-ansur dan beralih kepada neutral, bukan akomodatif.
Mata wang Yen ketara mengukuh pamerkan prestasi mingguan yang terbaik dalam tempoh 3 bulan didorong jangkaan bank pusat Jepun (BOJ) bakal menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Disember.
Dolar New Zealand pada sesi Asia semalam berjaya pamerkan corak yang positif walaupun Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) sekali lagi bertindak agresif dengan pemotongan kadar faedah sebanyak 50 mata asas, seperti yang turut dilakukan pada Oktober sebelum ini.
Dolar Kanada pula menunjukkan pemulihan semula ketika US dolar sedang bergerak lemah, setelah alami kejatuhan nilai yang ketara susulan ancaman tarif Donald Trump terhadap Kanada.