Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini apabila peserta pasaran menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) mengenai pemotongan kadar faedah.
Pada jam 10.25 pagi, ringgit berada pada paras 4.2480 iaitu naik 0.14% berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.2535.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam berkata sentimen pandangan bercampur-campur mengenai tahap potensi penurunan kadar Federal Reserve AS (Fed) hari ini.
Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) naik sedikit sebanyak 0.24% kepada 101.002 mata dan hasil nota Perbendaharaan AS dua tahun meningkat 5.0 mata asas kepada 3.60%.
Katanya lagi, ringgit menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding dolar AS kerana ia terus meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan.
Buat masa ini, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6088/6318 daripada penutup Selasa 5.6240/6385 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0026/0152 daripada 3.0244/0324 semalam, tetapi susut nilai berbanding euro kepada 4.7391/7585 daripada 4.7375/7498.
Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2883/3021 daripada 3.2891/2979 pada Selasa dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7476/8064 daripada 12.7725/8105 semalam.
Walau bagaimanapun, ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.65/7.69 daripada 7.64/7.66 dan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 277.8/279.1 daripada 277.3/278.2 sebelumnya. – Bernama