Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata bapanya kekal mengaku tidak bersalah dan meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu adalah beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang telah bermula lima tahun lalu.
Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
Beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Najib kemudian memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Perbicaraan mahkamah baru-baru ini, sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini diterbitkan media (The Edge) yang berdasarkan analisis mereka terhadap kes itu serta e-mel dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB.
Najib mendakwa lagi, beliau telah dihukum dari segi politik walaupun dengan jelas, dirinya bukanlah dalang pada segala penyelewengan dalam 1MDB dan tidak pernah sekali pun bersubahat dengan Jho Low.
Walaupun begitu, Najib mendakwa bahawa dirinya masih dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara bukan dilakukan dan tidak mengetahui secara sedar. – Berita Harian