Bakal Presiden, Donald Trump baru-baru ini mencadangkan aplikasi TikTok berkemungkinan akan terus beroperasi di Amerika Syarikat (AS), sekurang-kurangnya buat sementara waktu.
Semasa berucap di Phoenix, Arizona, Trump menyerlahkan peranan penting platform itu dalam kempen presidennya, di mana kandungannya mendapat berbilion-bilion tontonan.
Kenyataan Trump dibuat ketika TikTok menghadapi risiko kemungkinan diharamkan di AS.
Undang-undang AS yang diluluskan pada bulan April memerlukan pemiliknya dari China, ByteDance, untuk menjual aplikasi itu kerana kebimbangan keselamatan negara.
Jika ByteDance tidak mematuhinya, TikTok boleh diharamkan pada 19 Januari tahun depan, sehari sebelum Trump memegang jawatan.
Walaupun menghadapi cabaran dari kerajaan, TikTok menegaskan operasinya di AS adalah selamat, menjelaskan bahawa data pengguna disimpan pada pelayan (server) Amerika yang diuruskan oleh Oracle.
Jabatan kehakiman bagaimanapun berkata bahawa kawalan China terhadap aplikasi tersebut masih menimbulkan risiko keselamatan.