Mata wang US dolar dilihat gagal mengekalkan rentak pengukuhannya sebelum ini selepas mengalami penyusutan semula yang agak ketara berikutan data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terbaru hadir dengan bacaan yang tidak memberangsangkan.
Menjadi tumpuan di pembukaan sesi New York semalam, bacaan kedua bagi data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS untuk suku pertama 2024 semakin menguncup kepada 1.3% daripada bacaan terdahulu pada 1.6%.
Namun, angka tersebut sedikit baik berbanding ramalan yang lebih rendah iaitu 1.2%.
Penguncupan pada pertumbuhan ekonomi AS boleh mengundang kebimbangan terhadap Federal Reserve (Fed) dalam cadangan untuk mengekalkan kadar faedah yang tinggi mereka.
Turut diterbitkan bersama data tuntutan faedah pengangguran AS yang menunjukkan angka yang sedikit meningkat untuk minggu sebelum ini.
Seterusnya, menyusul pula data kontrak jualan rumah AS yang menunjukkan angka yang merosot lebih rendah berbanding ramalan untuk bulan April.
Ini juga boleh mencetuskan kebimbangan ekoran data perumahan menjadi salah satu pengukur tahap kesihatan semasa ekonomi.
Tumpuan pada hari ini pula (Jumaat) akan terarah kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan China di sesi Eropah sebelum pasaran akan memberi perhatian kepada data indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna AS.
Jika data ini juga hadir dengan angka yang mengecewakan, US dolar bakal alami tekanan yang lebih parah sementara kecenderungan untuk Fed melaksanakan pemotongan kadar faedah akan semakin meningkat semula.
Mata wang utama yang lain dalam pasaran akan memanfaatkan peluang di atas situasi penyusutan US dolar ketika ini.
Dagangan emas juga dilihat turut memulih semula di atas $2,340 setelah kejatuhan sebelumnya mencecah paras sekitar $2,323.