Pasaran komoditi logam kuning bergerak menurun dan menghentikan rali pengukuhan tiga harinya berikutan para pelabur mengambil keuntungan menjelang laporan Non-Farm Payrolls (NFP) AS.
Pada jam 8.50 pagi, harga emas berada pada paras $2,904.58 iaitu susut 0.21% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Emas mengekalkan posisi tingginya di sekitar atas paras $2,900 apabila dihadkan oleh kenaikan awal hasil bon Perbendaharaan 10 tahun AS ke paras tertinggi mingguan sebelum mengurangkan keuntungan kepada 4.286%.
Ketidaktentuan menyelubungi pasaran kewangan, didorong oleh dasar perdagangan kontroversi yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Tarif yang dikenakan ke atas sekutu dan musuh AS mencetuskan tindakan balas oleh Kanada dan China.
Sementara itu, Mexico mendapat penangguhan tarif selama sebulan sehingga 2 April, selepas Trump dan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum membincangkan penambahbaikan rundingan dalam penyeludupan fentanyl dan pendatang haram.
Selain itu, bilangan rakyat Amerika yang memfailkan faedah pengangguran menurun di bawah unjuran, mengurangkan kebimbangan kemelesetan yang dicetuskan.
Buat masa ini, para pelabur akan mengintai keluaran angka Non-farm Payrolls (NFP) Februari dengan penganalisis mengunjurkan 160,000 pekerjaan ditambah kepada tenaga kerja.