US dolar kekal suram ketika menutup dagangan di penghujung minggu lepas ekoran kebimbangan terhadap risiko ekonomi Amerika Syarikat (AS) menuju kegawatan kesan daripada perang tarif.
Data terbaru menunjukkan kemerosotan pada sentimen pengguna dalam laporan yang dikeluarkan oleh Universiti Michigan pada Jumaat lalu.
Pelabur akan tambah berhati-hati di minggu ini menjelang mesyuarat FOMC terbaru selain beberapa bank-bank pusat utama lain akan turut mendedahkan keputusan kadar faedah masing-masing.
Federal Reserve (Fed) dijangka untuk mengekalkan kadar faedah di paras semasa, namun kenyataan susulan oleh Pengerusi Jerome Powell akan mainkan peranan untuk memacu arah pasaran selanjutnya.
Dolar Kanada mencuri tumpuan pada penghujung minggu lalu apabila memaparkan pengukuhan berikutan pelantikan Perdana Menteri Kanada baharu, Mark Carney menggantikan Justin Trudeau.
Beliau tanpa membuang masa terus menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump untuk membincangkan tentang polisi pentadbiran yang mencetuskan perang perdagangan dengan hampir kesemua negara sekutunya.
Isu perang tarif tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mereda dengan Kanada dan China dilihat antara yang agresif membalas tarif yang dikenakan oleh Trump.
Eropah juga berdepan amaran tarif sehingga 200% untuk produk wain dan alkohol mereka.
Selain perang tarif, pasaran juga mengikuti perkembangan rundingan Rusia-Ukraine selepas cadangan Amerika untuk gencatan senjata selama 30 hari.
Dalam wawancara Trump pada Ahad, beliau memberitahu bahawa akan mengetahui kesediaan Rusia untuk cadangan gencatan senjata bersama Ukraine itu pada Isnin.