Kerajaan bersetuju memberi potongan kadar tol musim perayaan sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata diskaun berkenaan akan berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam pada 28 Mac dan berakhir pada jam 11.59 malam, 29 Mac ini.
Katanya, inisiatif Kerajaan MADANI itu akan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM19.69 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terbabit.
Katanya lagi, diskaun tol ini akan diberikan hanya kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Pemberian diskaun tol ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan oleh kerajaan bagi keempat-empat perayaan utama di negara ini sejak 2023, sejajar dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Alexander berkata, semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol itu dengan sebaiknya serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya khususnya pada cuti panjang musim perayaan ini.
Justeru, katanya, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dan meneliti beberapa panduan pergerakan sebelum memulakan perjalanan. – Berita Harian