Rancangan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menjadikan Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah” telah mencetuskan kemarahan di seluruh dunia menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
Trump mengumumkan rancangan tersebut dengan rakyat Palestin akan “dipindahkan ke komuniti yang lebih selamat dan lebih indah” ketika sidang media bersama dengan Perdana Menteri Israel semalam.
Beliau berkata apa pun yang akan berlaku di masa hadapan Gaza tetap akan diserahkan kepada Amerika Syarikat oleh Israel sebaik sahaja pertempuran berakhir jadi tiada kehadiran askar AS diperlukan.
Namun, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kenyataan Trump, beberapa pegawai kanan pentadbirannya dilihat cuba untuk menekan butang ‘reverse’ secara perlahan dengan mengendurkan nada cadangan itu selepas menerima kecaman hebat di dalam dan luar negara.
Setiausaha Negara, Marco Rubio menjelaskan bahawa Trump hanya mencadangkan pemindahan sementara bagi memberi laluan kepada proses pembinaan semula Gaza, bukan satu rancangan untuk menempatkan mereka secara kekal di negara lain.
Pihak White house juga turut menegaskan bahawa tiada komitmen untuk menghantar tentera AS ke Gaza, walaupun Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau bersedia untuk berbuat demikian ‘jika perlu’.
Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt menambah bahawa Trump akan “membuat perjanjian” dengan rakan serantau dan tidak akan menggunakan wang pembayar cukai AS untuk membangunkan semula Gaza.
Meskipun pentadbirannya cuba meredakan keadaan, kenyataan Trump jelas – Gaza bukan sekadar konflik, tetapi aset yang bakal jatuh ke tangan AS.