Hampir sampai ke garisan penamat, tapi China tiba-tiba tekan brek dalam rundingan penjualan TikTok.
Puncanya? Siapa lagi kalau bukan Donald Trump!
Presiden Amerika Syarikat (AS) itu baru sahaja mengumumkan kenaikan tarif ke atas barangan import dari China sebanyak 34%, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 54%.
Tak lama selepas itu, rundingan yang hampir dimeterai terus senyap – China ‘archive’ perjanjian dan ‘block’ kemajuan dari terus berjalan.
Perjanjian tersebut sepatutnya menyaksikan operasi TikTok di AS dipisahkan menjadi syarikat baharu milik pelabur AS, dengan ByteDance (pemilik asal dari China) hanya mengekalkan pegangan di bawah 20%.
Segalanya telah diluluskan oleh pelabur sedia ada, pelabur baharu, ByteDance dan kerajaan AS.
Tapi realitinya, kelulusan mutlak tetap terletak di tangan Beijing. Dan apabila tarif diumumkan, China pantas menyatakan bantahan secara diplomatik.
Susulan itu, Trump mengambil keputusan untuk melanjutkan tarikh akhir penjualan TikTok selama 75 hari lagi, hingga pertengahan Jun.
Dalam kenyataannya di media sosial, beliau menegaskan bahawa beliau tidak mahu TikTok “padam begitu sahaja,” sambil mengakui bahawa tindakan tarif tersebut mungkin menjadi punca ketegangan baharu dengan China.
Dengan nasib TikTok tergantung di awangan, persoalannya kini — siapa akan mengalah dulu? Trump, pelabur, atau Beijing?