Selepas kekal bergerak dalam prestasi hambar dengan reaksi suram ketika mesyuarat FOMC, US dolar dilihat mula memaparkan pemulihan pada beberapa dagangan sesi terbaru.
Pasaran menghadam kenyataan yang disampaikan oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang dilihat tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat susulan pengumuman kadar yang dikekalkan di paras 4.50%.
Powell menenangkan pasaran dengan menyatakan bahawa ekonomi Amerika Syarikat (AS) masih bergerak dengan baik, pasaran pekerjaan kekal kukuh.
Ini dilihat mengurangkan sedikit kebimbangan selepas laporan pekerjaan NFP terbaru tempoh hari hadir dengan bacaan yang suram selain kadar inflasi masih ‘liat’ untuk menuju ke sasaran bank pusat.
Namun begitu, penganalisis mengekalkan amaran berjaga-jaga untuk dagangan semasa US dolar yang masih diselubungi isu perang tarif, mencetuskan ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran.
Selain FOMC, turut menjadi tumpuan pada Khamis semalam adalah keputusan mesyuarat bank pusat Switzerland dan England dengan pengumuman kadar faedah yang kedua-dua menepati ramalan.
Swiss National Bank (SNB) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas daripada 0.50% kepada 0.25% terbaru.
Manakala, Bank of England (BOE) mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 4.50% dengan perubahan pada undian ahli MPC.
Berbanding undian majoriti sebelum ini, 8 mengundi untuk kadar faedah dikekalkan dan seorang mengundi untuk kadar faedah diturunkan.
Kedua-dua mata wang tidak menunjukkan pergerakan yang ketara dengan lebih dipacu oleh US dolar.
Pergerakan julat harga yang ketara dilihat pada dagangan dolar Aussie bermula dari sesi Asia semalam berikutan laporan pekerjaan Australia dengan bacaan membimbangkan.
Ekonomi kehilangan 52,800 pekerjaan pada bulan Februari, jauh meleset dari jangkaan untuk pertambahan 30,800. Manakala kadar pengangguran kekal pada 4.1%.
Tumpuan pasaran pada penutup minggu ini adalah pada data jualan runcit Kanada yang akan diterbitkan di sesi New York dengan ramalan angka yang suram untuk Januari.