Mata wang Euro dan Pound memberi reaksi pada data yang diterbitkan di sesi Eropah semalam sebelum pergerakan pasaran suram di sesi New York berikutan pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup sempena Thanksgiving Day.
Data PMI pembuatan dan perkhidmatan Jerman dan UK yang diterbitkan catat bacaan yang meningkat, namun dilihat masih belum mencapai ke paras yang stabil.
Peningkatan angka yang dipaparkan untuk bulan November ini telah menyokong pengukuhan sederhana mata wang Eropah namun momentum gagal dikekalkan pada dagangan sesi berikutnya.
US dolar pula seperti dijangkakan bergerak perlahan ketika pasaran AS bercuti dengan data PMI pembuatan dan perkhidmatan AS akan diterbitkan pada sesi New York malam ini.
Indeks dolar (DXY) berlegar perlahan di bawah paras 104.00 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS berada sekitar paras 4.40%.
Pelabur kekal berhati-hati pada dagangan penghujung minggu sementara masih menantikan petunjuk-petunjuk tambahan untuk berdepan pergerakan pasaran yang tak menentu.
Mata wang utama lain dalam pasaran juga bergerak perlahan menantikan sebarang reaksi pada pergerakan US dolar.
Perkembangan pasaran komoditi, penganalisis sedang memantau pergerakan semasa harga minyak mentah yang agak bercelaru minggu ini menjelang mesyuarat OPEC+.
Spekulasi timbul dan mempengaruhi pergerakan tak menentu harga apabila dilaporkan mesyuarat tersebut ditangguhkan.
Dagangan emas pula dilihat berlegar perlahan di bawah paras harga $2,000 setelah kenaikan pada Selasa dan Rabu lalu menguji paras tersebut namun gagal untuk bertahan di atasnya.
Pelabur emas kekal berwaspada sambil meninjau reaksi harga pada sekitar zon penting $2,000 tersebut untuk petunjuk pergerakan selanjutnya.