“Bagus semangatnya, tapi boleh percaya ke janji-janji manis dia tu?”
Calon presiden Amerika Syarikat (AS) Robert F. Kennedy Jr nampaknya berani berjanji bagi menamatkan konfrontasi berterusan antara White House dan Bitcoin (BTC) sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden AS.
Selepas menunjukkan komitmennya terhadap pasaran mata wang kripto, Kennedy Jr berkata bahawa beliau akan pastikan BTC sentiasa dilindungi dan ramai pelabur dapat mengekalkan pemilikan wallet mereka.
Bukan itu sahaja, Kennedy Jr turut berhasrat mengklasifikasikan BTC sebagai mata wang dan bukannya komoditi, terutamanya untuk pemegang aset digital tersebut yang lebih kecil melalui pelbagai kaedah tanpa menggunakan Kongres.
Selain gelisah tentang campur tangan kerajaan dalam mining BTC, Kennedy Jr turut bimbang mengenai pelbagai serangan dilakukan kerajaan ke atas BTC, jadi di sini dapat dilihat beliau ingin memperkenalkan bil Perbendaharaan disokong mata wang keras merangkumi BTC, platinum, emas, perak dan lain-lain.
Menurut Kennedy Jr, minatnya terhadap BTC telah tercetus semasa pemandu lori Ottawa menunjuk perasaan susulan menghadapi tindakan keras dan penutupan akaun bank tanpa sebarang pertuduhan atau sabitan.
Kerajaan yang menggunakan taktik pengawasan telah mengenal pasti penunjuk perasaan seterusnya melucutkan akses dana mereka sendiri, oleh itu Kennedy Jr menekankan kepentingan memelihara kebebasan dalam urus niaga kewangan.
Beliau yang kelihatan bersedia untuk memperjuangkan BTC sebagai simbol kebebasan kewangan telah menegaskan bahawa AS memerlukan mata wang bebas yang berautonomi dan di luar kawalan kerajaan.