-
USD bergerak berhati-hati menunggu data CPI AS
-
ECB dijangka turunkan kadar faedah 25 mata asas pada Oktober
-
RBNZ agresif longgarkan dasar, ‘cut rates’ 50 mata asas
Meskipun situasi perang di Timur Tengah agak mereda sedikit, namun sentimen pasaran yang kekal berisiko dilihat terus memberi kelebihan terhadap dagangan mata wang safe-haven US dolar walaupun pergerakan harga agak perlahan di pembukaan minggu ini.
Pelabur juga dalam mod berhati-hati sementara menantikan petunjuk penting di penghujung minggu menerusi laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) terbaru yang bakal diterbitkan.
Ini akan menjadi indikator utama kepada Federal Reserve (Fed) setelah laporan pekerjaan diperhatikan pada Jumaat lepas.
Kekurangan data-data ekonomi penting di awal minggu untuk memacu pergerakan pasaran sudah dijangka penganalisis sementara pada hari ini (Rabu), kenyataan oleh beberapa ahli Fed akan diberi tumpuan termasuk Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic, Presiden Fed Chicago Austan Goolsbee dan Timbalan Pengerusi Fed Phillip Jefferson.
Perkembangan di Eropah, European Central Bank (ECB) kini dijangkakan bakal menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Oktober dan juga jumlah yang sama pada Disember menurut 90% undian pakar ekonomi di Reuters.
Situasi ini didorong oleh faktor penurunan inflasi yang lebih pantas di zon Eropah di mana bacaan pada laporan September yang menunjukkan inflasi di bawah paras 2%.
Tumpuan pasaran pada sesi Asia pagi ini terarah kepada keputusan mesyuarat polisi bank pusat New Zealand yang menepati ramalan menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas.
Setelah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Ogos lalu, Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) dilihat lebih agresif menurunkan kadar faedah terbaru dari 5.25% kepada 4.75%.
Mata wang dolar New Zealand paparkan kejatuhan di awal keputusan kadar tersebut diumumkan sementara pelabur menilai ulasan bank pusat terhadap dasar monetari mereka.
Penurunan nilai NZD berbanding US dolar ke paras $0.6100 mencatatkan paras terendah terbaru untuk tempoh dagangan 7 minggu.