Bangunan menara 16 tingkat Serba Dinamik di Shah Alam dilaporkan bakal dibeli oleh APB Resources Bhd, syarikat peralatan proses perindustrian dengan nilai RM38 juta, tertakluk kelulusan mahkamah.
Menurut APB, mereka menerima surat dari pembubar Serba Dinamik Group Bhd bagi rancangan penjualan tanah dan bangunan tersebut.
Cadangan pengambilalihan tersebut akan membenarkan APB memanfaatkan hartanah berkenaan untuk tujuan mereka sendiri dan menjana keuntungan melalui sewaan.
Urusan cadangan transaksi itu dijangkakan selesai sebelum penghujung November ini.
Krisis kewangan syarikat yang berlanjutan terus menekan syarikat itu untuk kembali bangkit semula.
Pada penghujung September lalu, Bursa Malaysia Securities Bhd turut menegur secara terbuka dan mengenakan denda sebanyak RM15,000 terhadap Pengarah Urusan Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah kerana melanggar peraturan berkenaan notis selepas pelupusan kepentingan saham.
Lembaga Pengarah berjanji untuk selesaikan isu termasuk pelan penstrukturan semula syarikat setelah kumpulan itu juga telah diklasifikasikan dalam kategori PN17 oleh Bursa Securities.
Laporan pendapatan Serba Dinamik juga telah catat kerugian bersih sebanyak RM1.3 bilion untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2023.