-
USD kekal berlegar di paras tertinggi 7 minggu
-
Pelabur hadam laporan pekerjaan NFP yang kukuh
-
Situasi di Timur Tengah terus beri kelebihan untuk USD
Walaupun dilihat masih cuba untuk mengekalkan momentum selepas NFP minggu lepas, US dolar menunjukkan pergerakan agak mendatar pada pembukaan awal minggu semalam.
Penganalisis telah meramalkan situasi itu berikutan ketiadaan data-data ekonomi tumpuan pada semalam dan hari ini (Selasa).
Pasaran masih dalam mod menghadam laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada Jumaat lalu di mana angka bagi pertambahan pekerjaan, purata gaji dan kadar pengangguran pada bulan Ogos kesemuanya menunjukkan bacaan yang kukuh.
Justeru, tiada perubahan dijangkakan bagi pergerakan mata wang US dolar yang telah memaparkan prestasi yang kukuh untuk catatkan dagangan mingguan terbaiknya dalam tempoh 2 tahun ini.
Mengimbas kembali pada Selasa minggu lalu, tercetusnya ketegangan di Timur Tengah setelah Iran memulakan serangan peluru berpandu ke atas Israel.
Susulan sentimen pasaran yang berisiko (risk-off) itu telah menyokong pemulihan semula US dolar sebagai mata wang safe-haven yang sebelumnya alami tekanan setelah Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas.
Pada minggu ini, mata-mata akan memandang tajam ke arah laporan inflasi AS yang akan menjadi panduan Fed seterusnya dalam penetapan dasar monetari mereka.
Inflasi pengguna (CPI) akan diterbitkan pada Khamis sementara inflasi pengeluar (PPI) akan diterbitkan pada Jumaat.
Berdasarkan indikator CME FedWatch, tiada lagi jangkaan untuk pemotongan sebanyak 50 mata asas oleh Fed, sebaliknya peratusan tinggi adalah untuk pemotongan 25 mata asas.