Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS yang melemah pada awal dagangan apabila Indeks Dolar AS (DXY) lakukan pembetulan harga setelah lonjakan ketara.
Pada jam 10.20 pagi, ringgit berada pada paras 4.4670 iaitu naik 0.25% berbanding USD daripada ia ditutup 4.4765 pada penghujung Isnin.
Baru-baru ini, Indeks Dolar AS (DXY) jatuh 0.4% kepada 106.275 dan hasil Perbendaharaan AS 10 tahun turun kepada 4.41% daripada 4.44%.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Rashid berkata pembetulan DXY di atas faktor teknikal dan menyatakan ia telah mencapai keadaan terlebih beli.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.6607/5.6829 daripada 5.6525/5.6594 dan lemah berbanding euro kepada 4.7302/4.7488 daripada 4.7294/4.7352.
Bagaimanapun, ia menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 2.8885/2.9002 daripada 2.8914/2.8953.
Unit tempatan menunjukkan pergerakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ia mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.61/7.64 daripada 7.63/7.64 dan melebar berbanding rupiah Indonesia kepada 281.5/282.8 daripada 282.2/282.7.
Sebaliknya, ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3353/3.3486 daripada 3.3307/3.3351 dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8975/12.9631 daripada 12.8591/12.8808. – Bernama