“Kenapa tak jadi pula? Sebab Binance rasa operasinya takkan berkembang ke kat situ?”
Bursa gergasi mata wang kripto Binance memfailkan permohonan untuk membatalkan pendaftaran sebagai Penyedia Perkhidmatan Aset Kripto di Cyprus, bagaimanapun laman web rasmi pengawal selia sekuriti di negara itu masih tidak mendedahkan sebabnya.
Rentetan itu, pelbagai persoalan tercetus dalam kalangan komuniti kripto dalam memikirkan sebab Binance bertindak sedemikian setelah bursa kripto tersebut pada Oktober 2022 mengumumkan pendaftarannya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC).
Meskipun begitu, Binance sehingga sekarang tidak pernah memulakan operasinya di Cyprus dan kini, bursa kripto tersebut tetap tidak memberi sebarang maklum balas berhubung langkah yang dilakukannya itu.
Umum mengetahui bahawa Binance yang mematuhi peraturan pengubahan wang haram negara dan peraturan pembiayaan anti pengganas telah menawarkan perdagangan spot dan beberapa perkhidmatan lain kepada warga Cyprus.
Namun, Binance sejak kebelakangan ini mengalami pelbagai rintangan seperti pertempuran undang-undang dengan SEC Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Dagangan hadapan Komoditi (CFTC).
SEC telah memfailkan 13 pertuduhan terhadap Binance termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Changpeng Zhao (CZ) atas kesalahan menawarkan sekuriti tidak berdaftar yang melanggar undang-undangnya.
Setakat penulisan ini, Binance Coin (BNB) menjunam sebanyak 4.53% pada paras $238 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $37 bilion dan merekodkan penurunan sekitar 7.72% sepanjang minggu lepas.