Epic Games Saman Apple!

338

Pengeluar permainan video, Epic Games bertindak menyaman Apple Inc selepas firma teknologi tersebut membuang aplikasi permainan popular, Fortnite daripada App Store.

Menurut dokumen tuntutan saman tersebut, Epic Games mendakwa Apple melakukan tindakan monopoli terhadap semua aplikasi di iPhone dan turut mengambil keuntungan sebanyak 30% daripada setiap pembelian dalam aplikasi.

Namun tuntutan itu tidak menyebut Epic Games menuntut sebarang ganti rugi daripada Apple.

Apple dikatakan membuang Fortnite daripada App Store selepas kemaskini terbaharu permainan itu membolehkan pemain membeli mata wang maya dalam permainan terbabit dengan lebih murah secara terus daripada Epic Games.

Ujar Apple, Epic Games telah mengambil langkah yang jelas sekali melanggar garis panduan App Store.

Beberapa minit selepas Apple menyekat aplikasi itu, Epic Games mengumumkan mereka telah memfailkan tuntutan saman terhadap Apple.

Google turut bertindak sama apabila turut menyekat permainan itu daripada Google Play Store beberapa jam selepas Apple berbuat demikian. Pengguna telefon Android bagaimanapun masih boleh memainkan permainan itu menerusi pelancar Epic Games sendiri.

Tambah Epic Games, pemain yang menggunakan iPhone yang sudah memuat turun Fortnite masih boleh bermain permainan itu sehingga kemaskini seterusnya dikeluarkan. Selepas itu, mereka tidak akan dapat menikmati sesetengah ciri-ciri khusus dalam permainan tersebut.

Berita baik buat mereka yang bermain permainan berkenaan di komputer Apple Mac, mereka tidak terjejas kerana perisian komputer itu tidak menggunakan App Store.

Dalam pada itu, pengarah penyelidikan permainan di Ampere Analysis, Piers Harding-Rolls, tindakan Epic Games itu ‘disengajakan’ kerana syarikat itu memang mahukan Apple membuang aplikasi tersebut daripada App Store.

 

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat