Eropah Sudah Melepasi Krisis Terburuk Covid-19? – Ini Komen Presiden Lagarde!

509

Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde yang menjadi tumpuan utama pasaran hari ini menyatakan bahawa Eropah mungkin telah melepasi krisis ekonomi terburuk yang disebabkan wabak coronavirus.

Walau bagaimanapun, beliau turut memberi peringatan supaya berhati-hati mengenai kemungkinan gelombang kedua coronavirus dan pihak berwajib perlu bersedia untuk menghadapinya.

Malah, Lagarde juga mengatakan pemulihan mungkin tidak lengkap dan akan mengubah ekonomi secara kekal, yang menandakan bahawa dunia tidak lagi sama seperti sebelum berlakunya krisis pandemik.

Industri penerbangan, hospitaliti dan hiburan akan melalui proses pemulihan dalam bentuk yang berbeza dan ada di antaranya mungkin terjejas secara tidak langsung. Namun begitu, ia juga mungkin akan berubah kerana terdapat industri yang akan muncul daripada perubahan tersebut, menurut Lagarde.

Ucapannya menyusuli kenyataan Ketua Ekonomi ECB Philip Lane yang memberi amaran minggu ini, bahawa tanda-tanda awal peningkatan yang ditunjukkan dalam data ekonomi mungkin bukan petunjuk baik untuk menentukan pemulihan yang cepat dan kukuh.

Bank pusat sebelum ini telah mengumumkan untuk meningkatkan dan melanjutkan tempoh pelaksanaan program pembelian bon kecemasan (PEPP) bernilai 1.35 bilion euro dalam usaha untuk terus menyokong ekonomi Eropah dalam berdepan krisis ini.

Euro mempamerkan sedikit peningkatan pada awal dagangan sesi Eropah di tengah-tengah sentimen pasaran yang masih suram disebabkan kebimbangan gelombang kedua Covid-19 dan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Eropah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat