Pemimpin Eropah semakin bimbang bahawa Rusia akan menutup sepenuhnya bekalan gas Kesatuan Eropah (EU), dengan Itali telah meminta mesyuarat baharu untuk membahaskan perkara tersebut.
Syarikat gergasi tenaga Rusia, Gazprom telah mengurangkan aliran gasnya ke Eropah sekitar 60% sejak beberapa minggu lalu, mendorong Jerman, Itali, Austria dan Belanda memberi indikasi untuk kembali menggunakan arang batu.
Diplomat tertinggi EU, Josep Borrel memberitahu CNBC pada Jumaat mengenai pengurangan yang telah berlaku dalam bekalan gas sedikit demi sedikit oleh Rusia, di mana terdapat beberapa negara kekurangan hampir 100%, danada juga kehilangan 10% hingga 15%.
Beliau juga menyebut mengenai ‘taktik’ yang digunakan Rusia untuk memberi lebih tekanan (menutup bekalan gas sepenuhnya) kepada Eropah pada musim sejuk akan datang dan mereka perlu bersedia untuk itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Luxemborg, Xavier Bettel tidak menolak kemungkinan bahawa Rusia boleh memotong bekalan sepenuhnya selepas ditanya oleh CNBC mengenainya.
Dalam pada itu, Itali telah meminta untuk mengadakan mesyuarat antara anggota EU pada bulan depan bagi membincangkan tentang situasi tenaga dan ekonomi lebih lanjut.