Euro Dollar didagangkan dalam suasana ‘ranging’ Jumaat lepas, dengan paras tertinggi harian sekitar 1.1443 dan terendah 1.1380; sebelum menutup pada sekitar 1.1392 untuk membentuk ‘bearish pin bar’ di carta harian. Nilai tukaran EUR|USD sedang menguji ‘resistance’ di pivot bulanan sekitar 1.1485 apabila GDP Jerman dan Euro-Zone dilaporkan lebih baik dari jangkaan.
Krisis ‘Grexit’ yang melanda Kesatuan Eropah, dijangka diselesaikan minggu ini apabila pegawai-pegawai kerajaan Greece bakal bertemu dengan wakil ‘troika’, bagi membincangkan semula hutang luar Greece yang berjumlah 240 bilion Euro. Perbincangan yang menemui jalan buntu minggu lepas, perlu diselesaikan segera sebelum tarikh luput hutang tersebut akhir bulan ini.
Pada masa yang sama, ECB telah pun melancarkan ‘Quantitative Easing’ (QE) lewat tahun lepas, untuk membeli lebih 1 trilion Euro bon-bon kerajaan negara-negara Kesatuan Eropah, dalam usaha menjana ekonomi Euro-Zone. Tindakan melemahkan Euro bagi tujuan meningkatkan eksport itu, amat ditentang keras oleh Jerman yang lebih berminat dengan program pembaharuan fiskal.
Hari ini menteri-menteri kewangan negara Kesatuan Eropah bakal bermesyuarat, bagi membincangkan perkembangan ekonomi Euro-Zone. Amerika Syarikat pula bercuti lantaran hari presiden. Pasaran dijangka terus ‘ranging’.