Ketika pasaran masih menghadam situasi kemenangan Donald Trump dalam acara pilihan raya presiden 2024 di Amerika Syarikat (AS), tumpuan di penghujung minggu mula beralih kepada dasar monetari bank pusat.
Setelah dinantikan oleh para pelabur, keputusan mesyuarat FOMC untuk edisi November akhirnya terjawab dengan menepati ramalan majoriti iaitu pemotongan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, menurun dari 5.00% kepada 4.75%.
Federal Reserve (Fed) dilihat masih meneruskan lagi pelonggaran dasar monetari, namun seperti yang dijangkakan melaksanakan pemotongan lebih kecil berbanding September lalu yang lebih agresif.
US dolar dilihat tidak menunjukkan pergerakan agresif ketika keputusan kadar faedah itu diumumkan setelah sebelumnya telah pun pamerkan penyusutan yang ketara.
Berbeza berbanding dagangan Rabu lalu, prestasi US dolar pada Khamis semalam lebih suram, mengurangkan semula keuntungan yang diraih berkemungkinan pelabur berwaspada menjelang keputusan mesyuarat FOMC.
US dolar tidak menunjukkan reaksi ketara selepas mesyuarat berikutan pelabur melihat Pengerusi Fed Jerome Powell gagal memberi petunjuk yang jelas untuk hala tuju bank pusat selanjutnya.
Namun, Powell menyatakan bahawa tiada sebarang isyarat untuk Fed pertimbangkan untuk menghentikan pemotongan kadar faedah pada tempoh terdekat.
Powell juga memberitahu pilihan raya presiden tidak akan mempengaruhi polisi Fed dalam tempoh terdekat ini.
Pada awal sesi New York sebelumnya, tumpuan terlebih dahulu telah terarah kepada keputusan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) yang turut menyaksikan kadar faedah diturunkan 25 mata asas kepada 4.75%.
Namun begitu, Pound berjaya paparkan prestasi dagangan harian yang cemerlang berbanding US dolar berikutan kenyataan susulan oleh Gabenor BOE Andrew Bailey lebih bernada berhati-hati.
Bailey menekankan situasi inflasi yang perlu dipastikan untuk hampiri sasaran, justeru kadar faedah tidak boleh diturunkan dengan terlalu cepat dan banyak.
Pelabur kekal berhati-hati menilai pergerakan mata wang utama di penghujung minggu ini dengan suasana pasaran yang masih tidak menentu dan berisiko.