“Alamak takkan nak turun dah, harga BTC belum lagi dapat tembus $30K.”
Kebimbangan di kalangan pelabur tercetus dan seluruh pasaran mata wang kripto semalam menyaksikan penurunan di mana Bitcoin (BTC) didagangkan di bawah $24,970 apabila FTX dikhabarkan bakal mengalami tekanan jualan.
Hal ini kerana pelabur berpandangan FTX akan mendapatkan kelulusan daripada mahkamah muflis untuk menjual aset digital dipegangnya yang bernilai $3.4 bilion.
Menurut penyedia perkhidmatan aset digital berpangkalan di Singapura Matrixport dalam laporannya, altcoin dijangka akan mengalami penurunan ketara sepanjang tahun 2023 susulan FTX mungkin bertindak menjual token seawal minggu ini.
Jadi di sini dapat dilihat bahawa Solana (SOL) akan menjadi aset digital paling terkesan kerana hampir 16% daripada bekalan keseluruhannya dilaporkan telah memegang $1.16 bilion dalam SOL.
Rentetan itu, SOL yang pada masa ini telah tergelincir sehingga $17.70 daripada $20 diramalkan akan meneruskan penurunannya ke zon sokongan $15 seterusnya $10 jika masih tidak menunjukkan sebarang reaksi kenaikan harga.
Bukan itu sahaja, ETH turut mampu terjun di bawah $1,500 dan ini membawa makna harganya boleh turun semula pada $1,000 susulan pertumbuhan protokol aset digital tersebut didapati semakin mengecewakan.
FTX yang sudah bankrap juga telah memegang $560 juta dalam BTC dan ratusan juta token tidak dikenali, oleh itu bursa kripto tersebut menggunakan firma pelaburan aset digital dipanggil Galaxy untuk membantu jualannya.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 2.12% pada paras $25,139 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $489 bilion seterusnya mencatatkan penyusutan 2.56% sepanjang minggu lepas.