“Mana yang terbaik untuk pasaran kripto? Letak jawatan atau tidak?”
Pasaran mata wang kripto baru-baru ini digegarkan dengan khabar angin mengenai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) Gary Gensler yang mungkin bakal meletak jawatannya.
Bagaimanapun, pengasas BitBoy bernama Brian Armstrong mendedahkan bahawa peletakan jawatan Gensler sama sekali tidak akan berlaku sambil menambah khabar angin tersebut nampaknya hanyalah penipuan semata-mata.
Hal ini kerana komunti kripto sebenarnya berhasrat mendapatkan kejelasan berhubung pengawalseliaan aset digital dan bukannya ingin menjatuhkan Gensler susulan mereka bimbang tindakan Pengerusi SEC baharu akan jadi lebih teruk daripada sebelum ini.
Pada minggu pertama bulan Jun 2023, seluruh pasaran kripto mengalami pendarahan sedikit apabila SEC mengenakan tindakan undang-undang terhadap Binance dan Coinbase atas kesalahan melanggar undang-undang sekuriti.
Memang tidak dinafikan pasaran kripto mampu menyaksikan kenaikan ketara sekiranya berita tersebut benar, tetapi Armstrong sungguh percaya peletakan jawatan itu hanyalah khabar angin susulan masih tiada kenyataan kukuh dikeluarkan.
Beliau turut berkata bahawa Gensler berkemungkinan menunjukkan tindakan berbeza jika beliau ingin meninggalkan SEC dalam masa terdekat ini.
Susulan Gensler dikatakan akan bertanding untuk kerusi Senat di Maryland selepas persaraan Senator Ben Cardin pada tahun 2024, terdapat pelbagai spekulasi yang mengatakan bahawa beliau adalah calon ideal untuk Senat di Baltimore, Maryland.
Pun begitu, John Deaton, peguam mewakili para pemegang XRP dalam tuntutan mahkamah antara Ripple dan SEC sungguh percaya peletakan jawatan Pengerusi SEC akan berlaku dalam beberapa bulan lagi disebabkan tindakan politik.