Gempa Bumi Dahsyat Heret Lira Turki Ke Paras Terendah Sepanjang Masa

210

Gempa bumi dahsyat yang menimpa  Turki dan Syria pada hari Isnin telah menggemparkan dunia, menyebabkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan bangunan.

Setakat penulisan ini, dilaporkan 4,800 orang telah disahkan terkorban dengan angka dijangka akan terus meningkat menyusuli beberapa gempa susulan yang berlaku.

Mata wang Lira Turki menyentuh paras terendah sepanjang masa pada hari Isnin ke sekitar harga 18.85 berbanding US dolar, sebelum mengurangkan sedikit kerugian untuk diniagakan mendatar pada Selasa.

Bursa saham Turki, Borsa Istanbul pula menghentikan dagangan beberapa saham, dan indeks utama jatuh sebanyak 4.5%.

Penganalisis mengatakan gempa bumi itu telah menambahkan lagi ketidaktentuan yang dihadapi negara menjelang pilihan raya yang mungkin diadakan pada bulan Mei.

Turki telah kehilangan ramai pelabur antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran pasaran kewangan yang tidak menentu.

Ia diburukkan lagi dengan dasar ekonomi dan monetari bank pusat yang tidak ‘normal’ seperti yang lain, di mana kadar faedah diturunkan dalam menghadapi inflasi yang melambung tinggi.

Data baru-baru ini menunjukkan tekanan inflasi mula mereda dengan meningkat kepada 57.68% pada Januari, turun dari puncak tertinggi 85.51% pada Oktober 2022.

Dengan Turki masih lagi bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi global, bencana gempa bumi yang melanda dilihat akan membebankan lagi ekonomi dan pasaran kewangan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat