GIIB Ceburi Bidang Sarung Tangan, Terbitkan Hak Menerusi Waran

170

GIIB Holdings Bhd menerima kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaannya kepada pembuatan, jualan dan pemasaran sarung tangan menerusi anak syarikat miliknya, GIIB Healthcare Products Sdn Bhd dan melaksanakan terbitan hak dengan waran.

GIIB memegang 51% kepentingan dalam anak syarikatnya itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi kelulusan untuk mempelbagaikan ke dalam perniagaan sarung tangan, GIIB itu akan memasang lima barisan pengeluaran sarung tangan di rumah gudang sedia adanya di Nilai, Negeri Sembilan, untuk mengoptimumkan penggunaan ruang lantai sedia adanya bagi operasi perniagaan.

“Lima barisan pengeluaran itu dianggarkan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan 1.05 bilion pasang sarung tangan. Barisan pengeluaran itu boleh ditukar ganti untuk menghasilkan sarung tangan lateks atau nitril.

“Kerja-kerja pengubahsuaian rumah gudang sedia ada itu dijadualkan selesai pada Julai 2021 dan barisan pengeluaran pertama dijangka memulakan pengeluaran pada November 2021 dengan semua lima barisan pengeluaran beroperasi sepenuhnya menjelang Februari 2022,” jelasnya.

Tambah GIIB, bagi membiayai pempelbagaian ini syarikat tersebut akan melaksanakan terbitan hak boleh lepas sehingga 362.9 juta saham biasa baharu bagi asas satu saham hak bagi setiap satu saham GIIb yang dipegang, bersama dengan sehingga 362.9 juta waran percuma bagi asas satu waran bagi setiap satu saham hak yang dilanggan.

“Cadangan terbitan hak dengan waran itu dijangka mengumpulkan hasil kasar sehingga RM65.33 juta berasaskan kepada harga terbitan indikatif RM0.18 bagi setiap saham hak tidak termasuk hasil daripada terbitan waran.

“Kelayakan untuk terbitan hak dan waran percuma itu akan ditentukan bagi tarikh penutup yang akan diumumkan kemudian,” ujarnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat