Berjaya Food Bhd kini mencatatkan kerugian yang tinggi pada suku keempat berturut-turut disebabkan Kempen boikot anti-Israel yang memberi kesan besar terhadap prestasi kewangan syarikat tersebut.
Setelah suku pertama berakhir pada 30 September 2024, syarikat tersebut berterusan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM 33.68 juta, berbanding keuntungan RM 19.03 juta setahun lalu.
Pendapatan juga merosot lebih separuh kepada RM 124.19 juta daripada RM 278.53 juta.
Kempen boikot yang berterusan oleh rakyat Malaysia, kini memaksa Berjaya Food menutup hampir 50 buah cawangan Starbucks sementara, selepas 25 buah pada suku tahun sebelum ini, kerana penjualan yang berkurang.
Ini memberi tekanan kepada margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan EBITDA jatuh ke 8.1%, menurut CIMB Securities.
Walaupun berhadapan dengan situasi yang getir dan mencabar, Berjaya Food kekal optimis dengan menjangkakan penambahbaikan yang perlahan dalam suku akan datang, terutamanya menjelang musim perayaan yang bakal menjelma pada hujung tahun ini.
Namun, dengan kempen boikot yang semakin tak berkesudahan, Berjaya Food kini terpaksa mencari langkah bijak yang bukan sahaja dapat mengembalikan keuntungan, tetapi juga memastikan syarikat ini tidak terus ‘bungkus kedai’ dan menjadi sejarah.