Harga Minyak Jatuh Berikutan Jangkaan Pemotongan OPEC Akan Dikurangkan

293

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dijangka akan mencadangkan untuk melonggarkan pemotongan pengeluaran minyak mentah pada mesyuarat yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat diperdagangkan menyusut 0.8% kepada $40.22 setong, manakala minyak mentah Brent pula merosot 0.6% kepada $42.95 setong.

Pakatan pemotongan yang dilaksanakan oleh OPEC sejak bulan Mei telah membantu meningkatkan kembali dagangan minyak mentah yang terkesan oleh krisis wabak coronavirus.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dagangan komoditi hitam itu kembali goyah setelah menyaksikan peningkatan semula kes baru jangkitan coronavirus di beberapa negara, terutamanya Amerika Syarikat.

Peningkatan ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelabur terhadap permintaan minyak mentah yang mungkin akan kembali terjejas disebabkan pengenaan semula sekatan coronavirus.

Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri OPEC (JMMC) akan bermesyuarat pada hari Selasa dan Rabu untuk berbincang mengenai pengurangan pengeluaran bagi fasa berikutnya setelah menyaksikan pematuhan pemotongan di kalangan negara anggota telah mencapai 107% pada bulan Jun.

OPEC dan sekutunya, Rusia dijangka akan mengurangkan pemotongan bekalan mereka kepada 7.7 juta tong sehari memandangkan permintaan global dan harga kembali menunjukkan pemulihan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat