Harga Minyak Jatuh Susulan Jangkaan Permintaan Bakal Terjejas Oleh Virus China

362

Harga minyak mentah merosot ke paras terendah 7 minggu disebabkan kebimbangan penularan jangkitan Coronavirus mungkin mengurangkan permintaan bahan api selain turut dipengaruhi oleh laporan inventori minyak A.S meningkat pada minggu lepas.

Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh sebanyak 87 sen kepada $62.34 setong manakala WTI Amerika Syarikat pula susut 93 sen kepada $55.81 setong.

Penganalisis daripada Goldman Sachs berpendapat bahawa penularan wabak coronavirus di China berpotensi mengurangkan $3 daripada harga minyak disebabkan pengurangan dalam penerbangan udara.

Dengan menggunakan kes wabak SARS pada 2002/2003 sebagai rujukan, firma itu mengatakan coronavirus boleh menyebabkan permintaan bahan api jatuh sebanyak 170,000 tong sehari, dengan keseluruhannya permintaan merosot 260,000 tong sehari.

Menjelang musim perayaan tahun baru Cina, permintaan bahan api mungkin lebih teruk daripada ramalan awal Goldman memandangkan ketika itu kesemua penerbangan domestik akan terjejas ekoran sekatan perjalanan yang ditetapkan oleh kerajaan China.

Setakat ini, jangkitan Coronavirus telah mengakibatkan 17 kematian manakala hampir 600 kes telah dikesan. Susulan itu, pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan menutup hampir semua rangkaian pengangkutan dan menggesa penduduk supaya tidak meninggalkan bandar itu.

Sementara itu, peningkatan dalam inventori minyak mentah A.S sebanyak 1.6 juta tong pada minggu lalu berbanding jangkaan untuk menurun turut mempengaruhi harga minyak hari ini, menurut laporan oleh Institut Petroleum Amerika (API).

Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pula akan menerbitkan laporan inventori mingguannya malam ini yang dijangka akan turun sebanyak 1 juta tong pada minggu lalu daripada penurunan sebelumnya sebanyak 2.5 juta tong.

Anda mungkin juga berminat