Harga pengeluar China mencapai tahap tertinggi 26 tahun pada bulan Oktober disebabkan oleh kos bahan mentah, terutamnaya harga arang batu yang terus melambung tinggi.
Indeks harga pengeluar (PPI) meningkat 13.5% daripada tahun sebelumnya, mengatasi ramalan untuk kenaikan 12.3%. Bacaan ini juga meningkat lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada September, 10.7%.
Sementara itu, indeks harga pengguna (CPI) pula meningkat kepada 1.5% pada bulan lalu daripada 0.7% yang dicatatkan sebelumnya dan sedikit melebihi jangkaan untuk kenaikan 1.4%. Angka yang dicatatkan adalah yang tertinggi pernah direkodkan sejak September 2020.
Harga pengeluar di China telah meningkat dengan drastik sejak beberapa bulan lalu, disebabkan oleh kenaikan harga komoditi global dan sekatan pengeluaran yang disebabkan oleh masalah kekurangan tenaga di seluruh negara.
Inflasi pengguna pula melonjak apabila masalah bekalan mendorong harga makanan dan pengeluar meletakkan kos yang lebih tinggi kepada peruncit.
Tekanan harga yang semakin meningkat menyukarkan perbincangan untuk Bank Pusat China (PBOC) yang kini mungkin berhati-hati untuk melaksanakan rangsangan monetari terlalu cepat di tengah kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi walaupun pertumbuhan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu perlahan.