Harga Sasaran Top Glove Turun

236

MIDF Research telah mengemaskini harga sasaran (TP) Top Glove Corp Bhd kepada RM8.29 daripada RM1.96 sebelum ini, meskipun syarikat berkenaan mengumumkan dividen khas sebanyak 20% semalam.

Menurut penganalisis MIDF Research, Ng Bei Shan dalam nota penyelidikannya hari ini, Top Glove perlu memperbaiki kebajikan pekerja kerana pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi semakin penting dalam pelaburan lestari.

“Masalah yang dihadapi oleh Top Glove telah menenggelamkan aspek ESG dan kami berpendapat bahawa syarikat itu perlu mengambil sedikit masa lagi untuk memperbetulkannya.

“Antara lain, syarikat berkenaan komited untuk meningkatkan tempat tinggal pekerja dengan menyediakan bajet untuk membeli atau membina perumahan yang lebih baik untuk mereka,” katanya.

Menurut Bei Shan, anggaran pendapatan per sahamnya tidak berubah pada 43.8 sen untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22).

Meskipun TP baharu itu 24.36% lebih rendah berbanding sebelum ini, ia masih mewakili 50.73% premium ketika harga tutup terakhir iaitu RM5.50. Saham syarikat itu bersama-sama tiga lagi firma pengeluar sarung tangan menunjukkan penurunan sejak 5 Oktober tahun lalu.

Bei Shan bagaimanapun mengekalkan saranan ‘buy’ untuk saham Top Glove dan menaikkan jangkaan dividen per saham (DPS) kepada 69 sen daripada 55 sen untuk tahun kewangan 2021 (FY21) berikutan kadar pembayaran dividen yang tinggi.

Selain itu, beliau juga menegaskan walaupun sentimen terhadap Top Glove kurang baik berikutan perkembangan pelan pengedaran vaksin Covid-19, Bei Shan mendedahkan permintaan ke atas sarung tangan kekal kukuh.

“Waktu penghantaran untuk sarung tangan nitril dijangka memakan masa lebih setahun. Selepas semua perkara dipertimbangkan, kami percaya Top Glove dalam landasan untuk menghasilkan keputusan yang baik untuk FY21E,” ujar Bei Shan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat