Hari Berdarah! Farm Fresh Diheret Ke Paras Terendah

1,141

Laporan pendapatan yang mengecewakan terus memberi pukulan hebat ke atas saham Farm Fresh untuk menjunam lebih rendah pada hari ini (Khamis).

Selepas merudum lebih 13% pada hari Rabu, harga saham Farm Fresh menyambung penurunan ke paras terendah terbaru pada RM1.29 sebelum mengurangkan sedikit kerugian untuk didagangkan pada RM1.32 pada waktu penulisan.

Ia adalah lebih rendah daripada harga penyenaraian Mac 2022 pada RM1.35 sesaham.

Terdahulu, syarikat tenusu itu melaporkan keuntungan bersihnya merosot kepada RM50.08 juta pada tahun kewangan 2023 daripada RM79.89 juta.

Ia berlaku susulan peningkatan dalam kos input, termasuk bahan mentah tenusu utama, kos buruh, pertanian dan tenaga yang tinggi.

Namun, ia mencatatkan peningkatan hasil pada RM629.69 juta berbanding RM501.92 juta sebelumnya, didorong oleh Program Susu Sekolah, jualan produk susu sedia untuk diminum yang lebih tinggi dan impak positif pelancaran produk baharu.

Ekoran daripada keputusan yang mengecewakan, Maybank IB Research menurunkan penarafannya kepada ‘hold’, dengan harga sasaran disemak lebih rendah kepada RM1.60 daripada RM1.75.

Selain itu, RHB Research mengekalkan panggilan ‘buy’ untuk Farm Fresh walaupun harga sasarannya diturunkan kepada RM1.72 daripada RM1.75.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat