HOT WHEELS – Jenama Kereta Mainan Terlaris Di Dunia!

1,791

Sejak tahun 1968 lagi, Hot Wheels merupakan sebuah jenama kereta mainan popular yang terkenal dengan kelajuan dan keunikannya pada setiap model kereta mainan yang telah dihasilkan.

Hot Wheels merupakan salah satu jenama permainan kanak-kanak selain Barbie, Uno, American Girl, dan Fisher-Price yang berada di bawah naungan syarikat Mattel Inc.

Syarikat Mattel Inc mempunyai tiga orang pengasas yang terdiri daripada Elliot Handler, isterinya iaitu Ruth Handler yang juga merupakan pengasas Barbie dan Harold Matson.

Penciptaan Hot Wheels

Idea tentang penciptaan kereta mainan Hot Wheels tercetus pada tahun 1966 apabila Elliot Handler melihat anaknya sering bermain dengan kereta mainan ciptaan Matchbox yang terkenal pada zaman itu.

Beliau mendapati bahawa kereta mainan Matchbox tersebut banyak kekurangan dan dari itu beliau mula mendapat idea untuk menghasilkan sebuah kereta mainan jenama sendiri yang lebih hebat dan laju daripada kereta mainan ciptaan Matchbox.

Oleh itu, beliau mula melantik pereka-pereka kereta sebenar yang pernah bekerja dengan syarikat automobil seperti General Motors dan Chevrolet untuk bekerja di bawah syarikatnya bagi menghasilkan rekaan kereta mainan yang realistik dan berkualiti.

Bagaimana Nama ‘Hot Wheels’ Tercipta?

Elliot Handler mula mengarahkan pekerjanya untuk mereka cipta sebuah kereta mainan yang laju, tahan lasak dan cantik untuk dijual di bawah syarikatnya, Mattel Inc.

Ayat pertama yang keluar daripada mulut beliau apabila melihat kereta mainan yang telah dihasilkan tersebut ialah “those are some hot wheels!”.

Pada Mei 1968, rekaan Hot Wheels pertama iaitu ‘Custom Camaro’ telah diperkenalkan serta dijual di International Toy Fair.

Ekoran kejayaan Custom Camaro yang telah mendapat sambutan yang baik, Hot Wheels mula mereka cipta 15 lagi model kereta mainan baharu membentuk koleksi kereta mainan yang digelar Sweet-16.

Sweet-16 telah direka serta diinspirasikan daripada model kenderaan-kenderaan sebenar yang digunakan di California pada era tersebut.

Pada tahun 1970, Hot Wheels telah memperkenalkan model kereta mainan Snake dan Mongoose dan ia mendapat sambutan baik di pasaran.

Dengan itu, mereka mula membuka keahlian kepada peminat-peminat Hot Wheels dengan menyediakan pakej istimewa dengan menyediakan buku, patches serta sijil keahlian.

Sehingga kini, Hot Wheels masih menjadi jenama kereta mainan yang paling popular dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan umur.

Fakta menarik, Hot Wheels merupakan jenama kereta mainan yang paling laris dijual dengan rekod 16.5 biji kereta mainan terjual pada setiap saat.

Antara faktor jenama Hot Wheels masih lagi relevan sehingga kini adalah kerana keunikan pada setiap model custom mahupun model kereta sebenar dengan warna yang cerah dan berkilat serta tayarnya yang tebal.

Krisis Kejatuhan Akibat Isu Global

Pada tahun 1973, Hot Wheels telah mengalami kejatuhan akibat inflasi yang berlaku pada masa tersebut dan memberi kesan buruk terhadap industri permainan.

Mattel Inc terpaksa mengurangkan perbelanjaan mereka seterusnya menjadikan pengeluaran produknya menurun.

Inflasi yang berlaku adalah disebabkan krisis tenaga 1973 akibat sekatan bekalan minyak oleh negara-negara pengeksport petroleum (OPEC) kepada Amerika Syarikat (AS) atas tindakan mereka yang menyokong Israel pada peperangan Yom Kippur.

Sekatan tersebut merupakan salah satu faktor kepada kenaikan inflasi dan stagflasi iaitu kenaikan terus inflasi dicampur dengan kadar pengangguran yang tinggi dengan permintaan yang perlahan pada ekonomi sesebuah negara.

Krisis ini menyebabkan harga bekalan tenaga memuncak dan menyebabkan kekurangan bekalan minyak di AS.

Tambahan pula, inflasi di AS juga menyebabkan kenaikan harga barang komoditi pada kadar lebih kurang 10% setahun bermula tahun 1970 lagi.

Pada tahun 1979, Arthur Burns iaitu Pengerusi Federal Reserve (Fed) pada masa itu menyatakan bahawa inflasi yang tinggi pada waktu berkenaan adalah disebabkan oleh pertembungan antara pelbagai faktor luar lain seperti penurunan nilai dollar 1971 dan 1973 akibat kesan perang Vietnam, economic boom di seluruh dunia pada tahun 1972 hingga 1973, kekurangan tanaman yang menyebabkan lonjakan harga makanan dunia pada tahun 1973 hingga 1974 dan faktor-faktor lain.

Hot Wheels hanya memperoleh satu-satunya aduan tentang kualiti produk mereka pada tahun 1973 akibat inflasi dan pengurangan perbelanjaan pada masa tersebut.

Revolusi Hot Wheels Di Dunia Moden

Hot Wheels telah berkembang kepada platform-platform digital masa kini seperti gaming, auto partnership, penampilan berlesen, filem dan merchandise.

Jenama ini telah berkolaborasi dengan jenama-jenama mewah seperti Gucci dan IWC Watches untuk memperkenalkan jenama Hot Wheels kepada komuniti lain yang lebih besar.

Model limited edition dijual dengan pantas pada harga yang tinggi seperti replika Gucci Cadillac Seville yang dijual pada harga £200 hingga £350 di pasaran second hand.

Kolaborasi bersama Nintendo dengan koleksi Mario pada 2021 menyumbang kepada kenaikan jualan Hot Wheels dengan mencapai jualan sebanyak $227.4 juta, 67% kenaikan berbanding tahun sebelumnya.

Pada Jun 2021, Mattel Inc mula melancarkan produk mainan kenderaan mereka pada pasaran non- fungible tokens (NFT) yang juga menyumbang kepada prestasi kenaikan pendapatan syarikat tersebut.

Pada tahun 2022, dilaporkan sebanyak 20,000 jumlah model kereta rekaan Hot Wheels telah berjaya dihasilkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat