Hutang Negara Kini Sudah Mencecah RM1.09 Trillion

1,187

Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet hari ini memutuskan hutang negara pada 2018, berdasarkan perakaunan akruan adalah berjumlah RM1.09 trilion berbanding RM1.087 trilion pada tahun sebelumnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah itu merangkumi hutang kerajaan Persekutuan (RM741 bilion), jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan (RM132.7 bilion) serta hutang bersih 1Malaysia Development Bhd. (RM32.2 bilion).

“Ia juga meliputi liabiliti lain iaitu perkongsian awam-swasta, inisiatif kewangan swasta dan PBLT Sdn. Bhd. sebelum ini dikenali sebagai Pembinaan BLT Sdn. Bhd., syarikat di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dengan jumlah RM184.9 bilion,” katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, hari ni.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai Penyata Pertama Sesi 2018-2020 bagi Hutang dan Liabiliti Kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan telah beralih kepada perakaunan akruan sejak 2011 selaras dengan manual yang dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa berkenaan Perangkaan Hutang Sektor Awam yang menggunakan asas tersebut.

Katanya, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk beralih daripada pelaporan berasaskan tunai kepada akruan pada 2015 dengan migrasi akan berlaku sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Mustapa berkata, perakaunan akruan perlu melihat kepada aset dan liabiliti sepenuhnya termasuk tanggungan masa depan berbanding tunai yang hanya melihat kepada transaksi sahaja.

“Perbezaan dahulu dan sekarang, jawatankuasa ini membuat keputusan kita perlu mengambil kira liabiliti kerana ia merupakan tanggungan kerajaan yang perlu dibayar,” katanya.

Sumber : Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat