IMF Jangkakan Kemelesetan Global Pada 2020, 80 Negara Telah Mohon Bantuan

883

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberitahu bahawa wabak pandemik coronavirus akan menyebabkan kemelesetan global pada tahun ini dan ia mungkin lebih buruk daripada krisis kewangan 2008-2009.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva memuji langkah rangsangan fiskal luar biasa yang diambil oleh kerajaan di seluruh dunia untuk melindungi syarikat dan ekonomi yang terjejas, serta tindakan bank pusat untuk melonggarkan dasar monetari.

Beliau juga berkata prospek pertumbuhan global adalah negatif dan IMF kini menjangkakan akan berlaku kemelesetan sekurang-kurangnya sama seperti krisis kewangan global 2008-2009 atau lebih teruk.

Terdahulu, Georgieva pernah memberi amaran bahawa pertumbuhan global pada tahun ini dijangka kurang daripada 2.9%, seperti mana yang direkodkan pada 2019, namun tiada jangkaan mengenai kemelesetan dibuat.

Dalam kenyataan terbaru, IMF pula meramalkan terdapat pemulihan pada tahun 2021, tetapi untuk mencapai ke arah itu negara perlu meningkatkan usaha untuk membendung krisis wabak ini dan mengukuhkan sistem kesihatan.

IMF akan meningkatkan pembiayaan kecemasan secara besar-besaran dan bersedia untuk menggunakan semua kapasiti pinjamannya sebanyak $1 trilion, setelah hampir 80 negara memohon bantuan daripadanya.

Pasaran baru muncul dan negara berpendapatan rendah menghadapi cabaran yang signifikan, termasuk aliran modal keluar. Pelabur telah mengeluarkan $ 83 bilion daripada pasaran baru muncul sejak permulaan krisis, menjadikannya sebagai aliran keluar modal terbesar yang pernah dicatatkan, kata Georgieva.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat