Implikasi PKP 2.0 Terhadap Ekonomi Malaysia

820

Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) di beberapa negeri ekonomi utama akan memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.

Lapor Bernama, perkara berkenaan diutarakan oleh firma penyelidikan kewangan, Moody’s Analytics.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik Moody’s, Dr. Steve Cochrane, PKP yang sedang dilaksanakan di kawasan ekonomi utama seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor merangkumi 60% ekonomi negara ini.

Lembah Klang sahaja memegang 40% daripada aktiviti ekonomi Malaysia dan beliau menekankan bahawa Malaysia tidak berada dalam kemelesetan tetapi dasar-dasar yang ketat telah mencetuskan beberapa risiko kelembapan ekonomi.

“Terdapat beberapa negara yang paling saya bimbangkan. Kami telah mengklasifikan Malaysia sebagai antara yang berisiko. Malaysia menghadapi masalah untuk mengawal penularan Covid-19 selepas pada mulanya berjaya mengawal pandemik berkenaan dengan baik.

“Filipina dan Indonesia merupakan dua lagi negara yang mempunyai masalah menguruskan Covid-19,” katanya sewaktu webinar mengenai prospek ekonomi global dengan tumpuan terhadap pemulihan Asia Pasifik hari ini.

Tambah Cochrane, Filipina dan Indonesia menghadapi kesukaran untuk mengawal Covid-19 kerana kedua-dua negara itu agak lemah dalam menginstitusikan amalan penjarakan sosial yang ketat.

“Untuk satu jangka masa yang lama, Filipina sangat tegas membuat kawalan tetapi akhirnya, mereka mula melonggarkan beberapa langkah penjarakan sosial di sana.

“Sementara itu, Indonesia tidak pernah benar-benar memulakan penjarakan sosial yang ketat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, China, Vietnam, Taiwan dan New Zealand kini sedang menyaksikan pengembangan ekonomi disebabkan oleh pengurusan pandemik Covid-19 yang berkesan.

“Terdapat tiga faktor yang sangat penting membantu menyaksikan perbezaan di seluruh rantau Asia Pasifik. Salah satunya adalah sejauh mana sesebuah negara menguruskan pandemik Covid-19; kedua adalah kaitan negara-negara berkenaan dengan corak perdagangan dunia serta rantaian bekalan serta ketiga adalah tindak balas fiskal, yang menjadi sangat penting di rantau ini,” jelas Cochrane.

Secara keseluruhannya, Asia Pasifik merupakan rantau yang paling kukuh di peringkat global dan bergerak ke hadapan hadapan, sekali gus mendahului jalan dalam pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid-19.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat