India Bakal Naikkan Kadar Tarif, Sekatan Perdagangan Dari China Dan Negara Lain

305

Sejajar kehendak Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengumumkan program mempromosikan produk tempatan baru-baru ini, India dilaporkan akan mengenakan sekatan perdagangan yang lebih tinggi dan meningkatkan cukai import ke atas 300 produk dari China dan negara lain.

Berdasarkan rancangan kerajaan negara itu, peningkatan cukai import akan melibatkan 160-200 produk, manakala 100 produk lain akan dikenakan halangan bukan tarif seperti keperluan lesen atau pemeriksaan ketat ke atas kualiti.

Keputusan itu akan dilakukan keatas barangan import yang bernilai $8-10 bilion dengan tujuan untuk mengelakkan kemasukan barangan berkualiti rendah yang akan menjadikan produk India tidak kompetitif.

Malah, rancangan tersebut merupakan langkah terbaik untuk melindungi perniagaan domestik sekaligus membantu dalam mengurangkan defisit perdagangan yang menguntungkan negara lain seperti China.

Hubungan dua hala antara China dan India membawa keuntungan $88 bilion dalam fiskal tahunan yang berakhir pada Mac 2019, dengan defisit dagangan bernilai $53.5 bilion memihak kepada China, nilai terbesar bagi India berbanding dengan negara lain.

Antara barangan yang masih dalam pertimbangan termasuklah keperluan kejuruteraan, elektronik dan keperluan rawatan. Manakala bagi sekatan bukan tarif melibatkan pemeriksaan kualiti akan dikenakan kepada barangan import seperti penghawa dingin.

Sejak Februari lagi India sudah mula menaikkan kadar cukai ke atas barangan import seperti barangan elektronik, mainan dan perabot, menyebabkan negara itu menerima kritikan daripada IKEA Sweden yang kecewa dengan tarif yang tinggi.

Sejak Modi mula diangkat menjadi perdana menteri pada 2014, lebih daripada 3,600 produk daripada pelbagai sektor seperti tekstil dan elektronik dikenakan cukai tinggi. Beliau juga memperkenalkan program ‘Make in India’ sejak beberapa tahun lalu dan pada Mei, beliau mengumumkan kempen ‘Atmanirbhar Bharat’ atau membawa maksud ‘India Bebas’.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat