“Sangat menghampakan, harga BTC tak beri reaksi menarik langsung.”
Pergerakan pasaran kewangan tampaknya lebih menarik daripada pasaran mata wang kripto yang tidak memberi reaksi ketara apabila data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) pada Julai dilaporkan meningkat 3.2% berbanding sebelum ini pada 3.0%.
Selain itu, CPI teras turut mencatatkan lonjakan 0.2% pada bulan Julai dan ini membawa makna bahawa ia meningkat 4.7% daripada tahun sebelumnya.
Jadi di sini dapat dilihat bahawa harga Bitcoin (BTC) melihat penurunan sehingga $29,343 dalam hanya beberapa minit selepas Biro Statistik Buruh mengumumkan data CPI pada malam semalam semasa pembukaan sesi New York.
Bagaimanapun, para pelabur menjangkakan Federal Reserve (Fed) tidak akan menaikkan kadar faedah semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) seterusnya pada bulan September 2023.
Namun perlu diketahui terdapat pedagang yang berpandangan akan terdapat keberangkalian 15.5% untuk bank pusat AS menaikkan kadar faedah pada bulan depan, oleh itu pasaran kripto mampu merosot sekitar 10%.
Sejak awal tahun lepas, Fed yang bertindak mengetatkan dasar monetari mereka untuk memerangi inflasi melambung tinggi telah menyebabkan seluruh pasaran kripto berterusan mengalami kejatuhan secara drastik.
Rentetan itu, kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah pada tahun ini mampu menyukarkan BTC untuk naik, tetapi Fed berkemungkinan berundur daripada kenaikan kadar dan tindakan itu dapat melonjakkan BTC daripada harga semasanya.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 0.65% pada paras $29,425 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $572 bilion namun tetap merekodkan kenaikan 0.83% sepanjang minggu lepas.
Manakala Ethereum (ETH) menyusut sekitar 0.28 pada paras $1,850 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $222 bilion dan Ripple (XRP) susut 1.19% pada $0.63 seterusnya turun 4.83% dalam masa tujuh hari lepas.