Bacaan data inflasi terbaru di UK mungkin akan menggoyahkan pandangan Bank Pusat England (BOE) sebelum ini yang mengatakan bahawa kenaikan inflasi hanyalah bersifat sementara.
Terbaru, kadar inflasi UK melonjak jauh di atas sasaran BOE dengan meningkat 2.5% pada bulan Jun, iaitu bacaan paling tinggi pernah direkodkan sejak Ogos 2018 dan naik lebih tinggi daripada angka yang dicatatkan pada bulan Mei.
Menurut Pejabat Statistik Negara (ONS), lonjakan ini telah didorong oleh peningkatan dalam harga makanan, bahan bakar, kereta terpakai, pakaian dan kasut yang lebih tinggi.
Selain itu, Inflasi teras, yang tidak termasuk harga makanan, tenaga, alkohol dan tembakau adalah 2.3% dalam tempoh 12 bulan hingga Jun berbanding 2.0% pada bulan Mei.
Susulan catatan yang lebih tinggi daripada dijangkakan ini, matawang pound melonjak 0.2% berbanding US dolar, dengan didagangkan stabil di sekitar harga 1.38500 pada awal sesi Eropah.
Terdahulu, BOE mengatakan bahawa inflasi akan meningkat di atas 3% ketika UK bangkit dari penutupan coronavirus, tetapi juga berpendapat bahawa kenaikan itu hanya sementara dan tidak memerlukannya untuk mengurangkan rangsangan dalam dasar monetari.
Gabenor Andrew Bailey bulan ini menolak gesaan untuk tindakan segera dengan mengatakan para pegawai tidak boleh memberi reaksi berlebihan terhadap faktor sementara yang mempengaruhi harga.