Ini 2 Saham Syarikat Teknologi Berpotensi Beri Keuntungan

521

Kenanga Research mengunjurkan ‘buy’ terhadap dua firma sektor teknologi iaitu Aemulus Holding Berhad dan JCY International Bhd hari ini.

Dalam nota teknikalnya, Kenanga menjangkakan Aemulus akan menerima kesan daripada pertumbuhan segmen frekuensi radio (RF) pada telefon pintar rangkaian 5G dengan pelancaran dua model ujian baharunya iaitu AE7300 yang menyasarkan penapis RF pada peranti wayarles dan AE5600 yang digunakan dalam perkhidmatan imej CMOS untuk aplikasi keselamatan serta pemantauan.

Pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 2020 (3QFY20), pendapatan Aemulus meningkat kepada RM5.1 juta, sekali gus mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM87,000 selepas merekodkan kerugian dalam lima tempoh suku tahunan.

Pencapaian itu disumbang oleh pendapatan dan keuntungan bersih yang diperoleh menerusi dua model ujian tersebut.

Selain itu, Aemulus juga telah memeterai perjanjian bersama dengan sebuah syarikat China, Tangren Microintelligence pada 25 Mac lalu bagi tujuan menjana pendapatan melalui harta intelektual dalam pasaran penguji RF dan mengembangkan pengaruhnya dalam pasaran China.

Tambah Kenanga, sekiranya momentum pembelian saham Aemulus berterusan, kenaikan lebih tinggi melepasi paras rintangan adalah RM0.70 (R1) dan RM0.73 (R2). Sementara itu, Kenanga menetapkan paras kerugian pada RM0.53.

Dalam perkembangan berkaitan, Kenanga menjangkakan JCY akan menerima kesan daripada pertambahan pusat data yang didorong oleh trend pendigitalan.

Permintaan yang tinggi terhadap cakera keras berkapasiti 16TB dan 18TB menyumbang kepada prospek terbabit.

JCY ketika ini mencatatkan anggaran pendapatan bersih sebanyak RM50.3 juta (FY20E) dan RM151 juta (FY21E).

Ujar Kenanga, sekiranya minat pembelian berterusan, firma penyelidikan itu menjangkakan saham JCY akan melonjak tinggi melepasi paras rintangan pada RM0.78 (R1) dan RM0.86 (R2). Kenanga turut menetapkan paras kerugian JCY pada RM0.61.

Anda mungkin juga berminat